topbella

24 June 2009

Kisah seorang ABAH..

Setelah sekian ketika blog ini terbiar atas beberapa perkara termasuklah kerana pengurusan masa yang masih belum cekap. Namun, sentiasa ingin memperbaiki diri kerana tarbiyah telah mengajar kita untuk menyusun masa dengan baik, walaupun kita sendiri tidak menyedarinya.

Untuk kali ini, ingin mencoretkan sesuatu untuk ABAH..sempena Hari Bapa yang lepas.
Abah, itulah dia insan yang menjadi penyebab hadirnya diriku di dunia ini. Melalui abahlah hingga aku kini berada disini..untuk waktu yang seketika demi berusaha menunaikan janji yang telah aku katakan 21 tahun lalu dihadapan Allah. Meskipun aku sendiri tidak pasti apa yang aku katakan, namun yang pasti kelahiranku adalah sesuatu amanah yang harus ditunaikan.

Abah, kini usianya telah mencecah 68 tahun. Abah, seorang lelaki yang cukup aku kagumi. Abah, sejak usianya baru 4 tahun, ayahnya telah kembali menghadap tuhan. Membesar dengan kasih ayah dan ibu hanya dari bondanya. Kesempitan hidup ketika itu membuatkan abah tidak mampu menhabiskan persekolahannya, cuma setakat darjah 3. Mujurlah abah pandai mengaji, membaca, dan mengira. Hanya dengan sedikit ilmu itulah abah membesarkan kami 8 beradik.

Kerana tiada kelulusan, abah melakukan apa2 sahaja kerja yang halal demi menyara kehidupan. Bermula dari kelahiran kakak sulung, abah melakukan kerja-kerja hutan, menebang balak, berniaga kecil2an. Tubuh kurusnya digunakan semaksima mngkin untuk membanting tulang dan memerah keringat demi keluarga tercinta. Hinggalah satu hari cikgu besar bekas sekolah abah dulu datang membawa berita bahawa tanah rancangan felda akan dibuka di Pahang. Hasil perbincangan bersama mak, akhirnya langkah diteruskan untuk menjadi seorang peneroka.

Kami 4 beradik lagi lahir di tanah Jengka 10 ini. Cita-cita abah yang mahu melihat kami semua berjaya, menjadi insan berguna. Abah mahu kami semua mendapat pendidikan yang cukup, bukan seperti abah dahulu. Jika tiada duit sekalipun, itu bukan penghalang bagi abah. Istilah "ABAH takda duit" untuk persekolahan kami tidak pernah keluar dari bibirnya. Apa yang penting, kami semua bersekolah dapat ilmu, jadi orang berguna.

Abah tak pernah kisahkan penat dirinya, walaupun terpaksa cari kerja-kerja tambahan. Keluar pagi, lewat petang baru pulang. Namun, Alhamdulillah..semakin hari kehidupan bertambah baik. Kerana dilahirkan paling lewat, maka tak berpeluang melihat sendiri bagaimana susahnya abah ketika itu. Hanya sekadar mendengar cerita daripada mak, abah, abang2 dan kakak2. Abah cuba memperbaiki kehidupan kami sekeluarga agar lebih selesa.

Abah ini sifatnya mudah kesian, hatinya mudah tersentuh, jiwanya lembut meskipun jika dilihat dari raut wajahnya, percakapannya abah kelihatan tegas dan garang. Melihat abang ketika sekitar usia 8 tahun, hampir setiap malam berdiri di pintu rumah jiran menumpang menonton televisyen. Abah mencari duit lebih agar tv dapat dibeli, sekligus menjadikan syarat supaya lebih tekun belajar.

Pendidikan sangat2 ditekankan kepada kami semua, terutama ilmu agama yang akan menjadi bekal kami meneruskan hidup. Siapa ponteng mengaji, siaplah dirotan. Siapa ponteng sekolah, lawan cakap cikgu sedialah mendapat hukumannya. Sikap tegas abah membuatkan kami takut untuk buat perkara-perkara yang mengundang rotan hinggap di kaki. Begitu abah mendidik kami. Manakala mak pula bijak mengatur langkah, setelah kami dimarahi abah, mak pula mengganti tempat memberi nasihat, dan merawat kesedihan dimarah oleh abah.

Alhamdulillah kini kami semua telah menamatkan sesi persekolahan formal selama 11 tahun. Masing-masing telah bekerja kecuali yang masih belajar ini. Abah, inilah hasil yang abah corakkan pada kami. Bagi abah, walaupun mungkin ada yang masih tidak menepati kehendak abah, tapi kejayaan sebenar bagi abah adalah punyai anak2 soleh dan solehah yang akan menunjuk jalan pada mak dan abah, dan juga yang akan sentiasa mendoakan mak dan abah. Itulah kejayaan hakiki dari lubuk harapan seorang abah.

Tulang empat kerat abah masih lagi digunakan untuk mengurus lembu dan ladang. Katanya, "abah ni tak boleh duk diam, nanti sakit". Alhamdulillah abah dan mak dijauhkan dari penyakit2 yang berbahaya. Harapan mereka agar senang beribadat. Yang paling mak selalu cerita tentang harapan mak dan abah kepada setiap satu dari kami. Niat abah untuk lihat kami jadi begini dan begitu sejak kami dalam perut mak lagi.

Satu lagi cita-cita abah yang belum tercapai, menunaikan haji di Tanah Suci Mekah. Beberapa kali rayuan telah dibuat, namun belum ada isyarat panggilan dari ALLAH. Namun mereka sabar menanti. Aku doakan semoga Allah memudahkan perjalanan abah dan mak menuju ke sana. Ya ALLAH.. berilah kesempatan pada mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima di bumi barakah itu..amiin.

Abah....terima kasih atas segalanya.. Atas curahan kasih sayang yang tanpa syarat, atas segala pengorbanan yang kami tak mampu balas, atas petunjuk,nasihat,harapan dan dorongan yang tak pernah lekang dari mulut abah, dan segala2nya yang tak terungkap untuk ABAH.. anda juga pasti punya cerita tentang ayah,abah,abi,walid dan bapa anda sendiri.

Jadilah sesuatu yang berharga untukknya..sementara mereka masih ada, berbaktilah pada mereka. Andai mereka telah tiada, maka doakanlah mereka dan sambunglah silaturrahim dengan sahabat mereka. Sebenarnya SETIAP ibubapa merasakan kejayaan dalam mendidik anak2 adlah apabila mereka memperolehi anak2 yang soleh dan solehah. Jika kita belum, maka jadilah. Jika sudah berusaha, maka istiqamahlah dan mohonlah agar Allah menetapkan kita dalam kesolehan dan memayungi ayahnda dan bonda dengan rahmat kasih-Nya.


Inilah wiraku..jantung hatiku..ABAH
EN. ISMAIL B SAAD

1 bersilaturrahim:

neopentene said...

Salam. HArgai abah ketika masih hidup....sayu rasa...rindu kat abah....