Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat Rasul junjungan Muhammad s.a.w, keluarga, para sahabat, dan sesiapa yang bejuang menegakkan kalimah LA ILAHA ILLALLAH.
Sebagaimana yang dunia kini digemparkan dengan berita mengenai mujahidin dalam konvoi Life Line for Gaza (LL4G) telah diserang oleh tentera Israel laknatullahi a'laih, Dengan peristiwa 31 Mei ini, baru ramai yang ingin membuka mata.Ambillah pengajaran daripadanya. Mari kita lihat beberapa perkara yang boleh di muhasabah kembali. Pentingnya muhasabah ini supaya kelalaian demi kelalaian tidak berulang lagi. Saya ingin kongsikan disini, sangat setuju dengan penulis web Langit Ilahi, beliau mengatakan :
31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita? Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.
Hakikat sebuah perjuangan
Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:
“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”
Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.
Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.
Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.
Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.
Apa yang telah kita korbankan?
Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.
Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.
Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam
Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.
Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?
Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?
Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran RasulNya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.
Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.
Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.
Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?
Berapa ramai dan berapa ramai?
Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.
Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.
Kita lemah dan tidak berdaya.
Hanya mampu menjerit sahaja.
Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita
Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.
Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi.
Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.
Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.
Itulah dia musuh kita.
Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.
Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.
Jalan kemenangan bukan dengan jeritan
Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.
Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?
Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.
Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.
Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.
Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.
Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.
Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?
Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.
Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.
Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?
Siapakah yang berusaha untuk menang ini?
Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?
Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?
Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?
Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.
Zaman itu ada semua itu.
Zaman kita apa yang ada?
Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.
Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.
Kenapa mereka tidak menang?
Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.
Tidakkah kita mengambil pengajaran?
Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.
sumber
P/S :Bacalah bukan hanya dengan mata, tapi lihatlah dengan mata hati, renungkan dengan iman.
Kemenangan itu pasti, namun adakah kita salah seorang yang memenangkannya? siapa yang berusaha ke arahnya pasti akan perolehi. Penuhkan masjid-masjid,disetiap waktu solat terutama subuh agar musuh bisa gentar. Solat hajat dan mohonlah doa kepada mereka yang telah menginfaqkan nyawa mereka di jalan Allah ini. Semoga usaha kecil kita itu bisa menjadi saham di akhirat kelak.