topbella

15 December 2009

Motivasi untuk Kader Dakwah

"Kalau engkau benar-benar jujur pada Allah,
Dia akan benar mewujudkan maksudmu"

Benar-benar tersentuh dengan apa yang dikatakan oleh Rasullullah. Ya, Allah itu Maha Mengetahui setiap apa yang ada didalam hati kita. Sebelum kita berjalan jauh, periksa dahulu kenderaan kita, agar tidak mogok dipertengahan jalan. Jalan yang masih panjang, kerana itu pentingnya untuk bersiap-siap, periksa dahulu, jika semuanya lancar sandarkan doa dan tawakkal lah kepada Allah agar selamat sampai ke destinasinya.

Begitu juga dalam melalui jalan yang ditaburi duri-duri, jalan tarbiyah dan dakwah ini memerlukan persiapan dari awalnya lagi. Asasnya perlu kukuh agar tidak mudah runtuh. Perlu persiapan dari segala segi, terutamanya dari segi rohani. Harus berani mengubah diri. Tarbiyah bukan sekadar hadir ke halaqah, bukan cukup dengan hanya ada pendidikan agama, tapi yang utama adalah 'pendidikan hati'. Kitalah yang lebih mengenali diri, dan hanya kita yang mampu berubah jika dengan paksaan diri sendiri. Perlu banyak koreksi diri agar sentiasa in line dalam saff ini. Perlu mujahadah yang kuat, niatnya harus lurus. Hanya untuk Allah. Bukan kerana manusia.

Mengikuti tarbiyah bukan sekadar ikut-ikutan, bukan sekadar meluaskan jaringan hubungan, atau untuk mengisi masa tapi kerana ia adalah keperluan bukan pilihan. Luruskan niat hanya untuk Allah, jika ujian badai sekalipun insyaAllah dengan diawali dengan niat tadi pasti Allah akan memperteguhkan lagi hati kita untuk bersama di medan ini, bahkan jika ujian lebih mencabar, dan kita menerima dengan sabar maka semakin tinggilah darjat disisi Allah. Hanya Allah yang Mengetahuinya dan membalasnya.

Yang penting harus berani ubah diri. Tidak mahu jadi kader manja! itu susah, ini tak mahu, dan akhirnya sedikit demi sedikit hilang. Demikianlah Allah membersihkan saff-Nya dari orang yang tidak ikhlas. Dan khuatirnya kita yang akan tersingkir. Ikhlas itu sukar ditemui, namun masih mampu diperolehi, mohonlah pada-Nya, nescaya Dia akan memberi."Ya Allah, ikhlaskan hati kami dalam apa jua yang kami lakukan..bersihkanlah hati kami dari sebarang kekotoran yang bisa menggoyahkan iman kami, dan thabatkan kami hingga kami temui syahid itu.."

"Tanpa tarbiyah, harakah hanya akan menghasilkan
peribadi-peribadi yang memahami politik, tapi jiwanya keras tidak memahamikelembutan" ( Muhammad Ahmad Ar-Rasyid).
"Ya Allah teguhkan kami untuk terus berada dalam saff-Mu, bersama dengan pejuang-pejuang agama-Mu hingga tiba saat kita ketemu"..ameen

02 December 2009

"BEKERJA" untuk ALLAH atau Manusia??

Allahu Akbar... Allahu Rabbi..

Bismillahirrahmanirrahim...

Salamun a'laikum..Alhamdulilllah masih diberi nikmat untuk hidup pagi ini. Dan semoga nikmat ini disyukuri dengan menundukkan ketaatan pada-Nya. Biasa kita dengar "indahnya jika hidup ini segala-galanya kerana Allah", ya cukup terasa nikmatnya jika semuanya kerana Allah. Tali keyakinan itu harus kita ikat sekuat-kuatnya, kita serah sepenuhnya, kita percaya walau tanpa ada secalit keraguan pada-Nya, dengan itu apa jua perkara yang kita lakukan pasti Allah di hadapan kita. Kita percaya Allah melihat kita setiap saat, saat kita melakukan kebaikan dan kemaksiatan, juga saat kita di tengah-tengah manusia ataupun tika kita bersendirian, saat kita melakukan dengan anggota badan mahupun hanya dengan detikan dari dalam hati, semuanya dalam pengetahuan Allah. Inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi Rabbil A'alamin..(sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanyalah untuk Tuhan Sekalian Alam). Ini ikrar kita lima hari sekali setiap kali menunaikan solat fardhu, namun seringkali kita telupa dan terleka dengan lafaz ikrar kita pada Allah.

Astaghfirullahal A'zim..Astaghfirullahal A'zim..Astaghfirullahal A'zim.. Wa Natubu ilaik..
Terkadang kita lebih mementingkan pandangan manusia pada kita. Mahu dilihat semua serba sempurna, bagus dan baik. Bahkan lebih teruk jika merasakan diri kita lebih baik dari orang lain. Jangan sampai amalan kita menjadi sia-sia.Timbullah penyakit riak, ujub dan sum'ah. Na'uzubillahi min dzalik. Berhati-hatilah kita semua. Ketahuilah Allah mengawasi kita setiap saat, hatta setiap apa yang terdetik di hati kita juga Dia Maha Mengetahui. Kita tidak akan mampu lari dan menyembunyikan sesuatu apa pun dari-Nya. Perbanyakkan istighfar agar ia dapat melunturkan dosa-dosa kita.

Terkadang kita mendahulukan manusia daripada Allah, apabila sampai tugasan dari pihak atasan kita segera kita laksanakan, tapi hak Allah ada juga yang kita abaikan. Kadangkala pula kita mengutamakan diri kita dahulu berbanding Allah dan Muslim yang lain. Ambil hanya yang mahu dan tinggal apa yang tidak mahu. Ingatlah pesan Allah didalam surah al-Baqarah : Marilah kita bersama luruskan kembali niat dalam meneruskan hidup dan melangkah di jalan dakwah.
Terkadang kita mahu terus saja mengikut seperti apa yang kita mahu. Bukankah Allah mengajarkan kita supaya bersikap lembut sesama Muslim? ya mungkin tanpa kita sedari ia tergambar pada percakapan, raut wajah ataupun perbuatan kita. Jalan dakwah dan tarbiyah banyak mengajarkan dan melatih kita untuk menjadi lebh baik, bukan hanya kita, tapi orang lain juga. Jangan dengan hanya pakaian yang baik, percakapan yang teratur dan kedudukan kita membuatkan kita lupa. Barangkali ada lagi yang kurang serba serbi dari kita, namun mereka ini Allah mendengarkan doa mereka. Jangan hanya penat mengatakan kita telah lakukan itu dan ini dan akhirnya jangan juga terkejut dan penat kerana tiada ganjaran apa-apa kerana ia bukan lagi kerana Allah. Biarlah tiada makhluk pun yang mengetahui tapi cukuplah Allah saja yang mengetahui. Biarlah ia menjadi rahsia kita dengan Sang Pencipta. Biarkan juga andai tiada manusia yang mengetahuinya tetapi cukup dengan pembicaraan para penduduk langit.
Hasbiyallahu wa ni'mal wakiil.

03 November 2009

AKHIRNYA..Tersahut jua!

Bismillahirrahmanirrahiim..

Salam juang untuk semua, setelah lama tidak memanfaatkan blog ini akhirnya ketemu jua hari ini. Alhamdulillah. Ada sesuatu yang sangat teruja untuk dikongsi untuk semua. Petang kelmarin, setelah usai "perang" rasanya ketandusan semangat. Fikiran terus melayang teringatkan ayahnda dan bonda dirumah. Bagaimana agaknya keadaan mereka. Handphone segera dicapai, cepat-cepat dicari nombor talian rumah. Alhamdulillah dapat! Terdengar suara abah dihujung talian. Nada suara abah bunyinya tidak macam selalu, kali ini lebih lagi cerinya. Apa agaknya yang sedang berlaku? Alhamdulillah dua-duanya sihat. "Abah nak bagi tahu shuhada ni, alhamdulillah abah & mak dapat buat haji tahun ni.. InsyaAllah 16haribulan akan berangkat." Tup! saat itu dah tak terungkap perasaanku. Seolahnya diri ini yang dijemput ke sana. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillahi Rabbil A'lamiin.

Ya..AKHIRNYA..termakbul jua hajat mereka yang sangat-sangat ingin menunaikan rukun kelima itu jika diberi kesempatan. Siang malam doanya tiada henti. Masuk tahun ini, tahun ketiga rayuan untuk ke tanah suci ditolak. Mereka pasrah, namun doanya tak pernah lelah, malah semakin kuat ku lihat usaha mereka. "Mungkin ada lagi yang abah belum selesai disini" itu kata abah. "Belum masanya lagi tu..insyaAllah, shuhada tolong doakan mak dan abah dapat buat haji ya?" ini yang selalu meniti di bibir ibu. "Sabarlah mak, abah, mungkin ada sesuatu yang Allah nak lihat dari kita..kebergantungan kita pada Dia, kesabaran, dan ketekunan doa serta keyakinan kita pada-Nya. Semua ini yang Allah telah latih mak dan abah disini, supaya disana nanti telah terbiasa dengan semua ini. Itu sebenarnya hadiah dari Allah untuk kita. InsyaAllah shuhada sentiasa doakan agar Allah memilih mak dan abah untuk menjadi tetamu-Nya disana. Mak pun tolong doakan ya, supaya anak-anak mak semuanya dapat kesana, buat haji". Ini antara pebualan kami anak beranak seingatku beberapa bulan lalu. Dan alhamdulillah semalam telah terkabul hajat mereka. Maklumlah, abah bukannya bergaji besar, nak kumpul duit pun cukup lama. Tapi alhamdulillah Allah mudahkan segalanya.

Semoga ALLAH permudahkan segala urusan abah dan mak untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. Sambutlah panggilan-Nya, semoga beroleh Haji Mabrur. Labbaikallahumma labbaik..

Catatan : Ambillah apa yang tersirat disebalik perkongsian tadi.

1. Sebagaimana pesan Rasulullah : Sesungguhnya sesuatu amalan itu dimulai dengan niat. Maka, pertama sekali berniatlah untuk ke Tanah Suci, bumi Barakah yang Allah muliakan atas doa nabi Ibrahim a.s. Meskipun tempat yang panas, bersesak dengan orang ramai, tapi kerana doa nabi Ibrahim itu, Allah menjadikan Mekah itu dicintai umat manusia untuk ke sana. Dan disitu jugalah semua umat Islam dari pelbagai pelusuk dunia berhimpun dengan niat dan matlamat yang sama. Jika kita telah berniat, jika tidak dapat ke sana sekalipun sudah beroleh pahala kerana niat tadi. Mudahkan nak buat kebaikan? :) InsyaAllah jika dah punya niat, pasti Allah akan mudahkan.

2. Tak cukup niat saja, kena juga usaha. Bagi yang belum lagi berdaftar untuk menunaikan haji, jom buka akaun dan daftarkan nama anda segera. Tidak apa jika bajetnya belum ada, namun usahakan sedikit demi sedikit. Nanti bolehlah tunaikan haji ketika usia masih muda, badan pun masih kuat. Nanti kalau ada rezeki lebih, boleh buat lagi. Kalau nak tunggu usia dah lanjut bimbang tak sempat. Jadi, rebutlah peluang dan jangan tangguhkan kebaikan itu. Yuk! fastabiqul khairaat!!

27 October 2009

Sekarang, Selamatkan Al-Aqsa!


Isnin, 26/10/2009


Ketegangan berkobar di Masjid Al-Aqsa hari Ahad (25/10) kemarin. Ratusan pasukan Israel menyerbu tempat suci umat Islam itu, memukuli jamaah dan menembakkan peluru gas air mata, peluru karet berlapis, dan melemparkan granat.

"Mereka memukuli orang dan menodai tempat suci. Mereka mengabaikan kesopanan dan kesusilaan manusia," Adnan al-Husseini, pejabat tinggi Wakf Muslim, mengatakan kepada IslamOnline.net.

"Mereka mengepung Masjid Aqsha dan mencegah umat Islam mendekati tempat itu."
Menurut saksi mata, sedikitnya 10 warga Palestina terluka, beberapa parah, sementara yang lain menderita iritasi karena gas air mata. Sebanyak 20 warga Palestina ditangkap.
Syeikh Muhammad Hussein, seorang ulama terkemuka dan pemimpin agama, menggambarkan situasi di Al-Aqsa sangat berbahaya. "Para tentara Israel menyerang semua orang, termasuk perempuan dan anak-anak," katanya.

Sebelumnya, para pemimpin Muslim mendesak umat Islam untuk berbondong-bondong mendatangi Masjid Al-Aqsa, yang saat ini dijadikan incaran utama Yahudi. Panggilan itu disampaikan melalui pengeras suara di kompleks Aqsha, membuat penjajah Israel menghentikan pasokan listrik ke masjid-masjid di daerah tersebut.

Selamatkan Al-Aqsa!!!

Palestina menuduh pasukan pendudukan Israel dan para ekstrimis Yahudi bermain dengan api.
"Mereka berusaha untuk membuktikan bahwa mereka adalah penguasa di sini, atau mereka memiliki kedaulatan atas tempat suci kami," kata Hussein. "Tapi ini merupakan tempat suci Islam. Ini selalu seperti ini dan akan selalu seperti ini. "

Al-Aqsa adalah kiblat Muslim pertama kiblat dan merupakan bangunan suci ketiga setelah Ka `bah di Mekah dan Mesjid Nabi Muhammad di Madinah, Arab Saudi. Al-Husseini menyerukan kepada seluruh dunia untuk bahu-membahu menghentikan "agresi kurang ajar Israel ini kepada Islam dan tempat-tempat suci Islam. "Apa yang terjadi hari ini di Masjid Al-Aqsa belum pernah terjadi sebelumnya, dalam hal tidak menghormati kesucian tempat itu," ia berkeluh kesah. "Israel berusaha terus untuk menabur ketegangan dan teror dan ketika umat Islam memprotes agresi Israel, Israel mengklaim bahwa umat Islam membesar-besarkan masalah di luar proporsional."


"Dan jika umat Islam, pemerintah dan bangsa, tidak bergerak cepat untuk menghentikan Israel, mungkin besok terlambat." (sa/iol)
Jika kita bukan pejuang disana sekalipun, kita adalah pejuang Islam. Nah! sekarang lihat apa yang mereka lakukan? kita memilih hanya untuk dudu diam atau bangkit melakukan sesuatu ??
Pilihlah dan Allah akan melihat apa yang kita lakukan!

28 September 2009

Menjadi Insan BERTAQWA

Allahu Akbar!! Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!
Laungan takbir yang menyentap hati saat tatkala imam melaungkan kalimah agung di masjid di kampung malam 1 syawal lalu. Itu Tanda kemenangan. Tanda kesyukuran dan tanda kehambaan bagi setiap insan. Sayu hati tatkala melepaskan ia pergi.. Air dari empangan mata ciptaan Allah ini mengalir laju seolah tidak mahu berhenti seolah mengerti bahawa Ramadhan akan berlalu pergi. Mengenangkan diri bagaimana nanti, adakah mampu lahir sebagai insan Taqwa? mampu untuk terus menyarung pakaian Taqwa? jika sepanjang Ramadhan, ya iya semua sibuk berpesta ibadah, namun habis saja Ramadhan nanti bagaimana? Ya Allah, bantulah kami.. bantulah kami untuk terus kekal bersama ruh Ramadhan.


Ya, Ramadhan akan tetap terus berlalu namun rindu untuk selalu bersamanya. Dengan keluar sebagai Alumni Ramadhan, mudah-mudahan segala tarbiyah yang dilalui sepanjang Ramadhan akan menjadi bekal untuk sebelas bulan perjalanan untuk menuju Ramadhan seterusnya.

Ya Allah terimalah segala apa yang kami lakukan hanya semata-mata untuk-Mu. Terimalah amal kami yang tidak seberapa ini jika dibandingkan dengan Maghfirah-Mu, Rahmat-Mu dan Kasih Sayang-MU pada kami. Meski amal kami setinggi gunung dan seluas laut, secalit nikmat kerlipan mata pun tidak mampu kami membalasnya. Syukur pada-Mu Tuhan kerana masih memberi kesempatan untuk kami melalui Universiti Ramadhan, semoga graduan yang telah keluar ini keluar sebagai GRADUAN BERTAQWA. Semoga Iman akan terus meningkat, Dakwah juga akan semakin berkembang pesat, Umat Islam semakin banyak yang berlumba menjadi Insan Bertaqwa, maka dengan usaha semua Islam akan tertegak dengan izin-Nya. Dan saat itu akan membawa kita terus menghampiri negeri abadi. Hak adalah ditangan kita, dimana kita akan berada buat selamanya. Muhasabah diri dan muhasabah untuk semua.


Semoga aidilfitri ini akan menjadikan kita sebagaimana Allah mahukan "la'allakum tattaqun". Semoga di akhirnya kita menjadi insan bertaqwa. Eid mubarak buat semua, dari diri ini yang penuh dengan kekurangan dan kesilapan, memohon maaf di atas segala kesalahan. Salam kembali ke tempat masing-masing, bersama giatkan dakwah di tempat masing-masing. Dengan adanya penggerak, dan yang membawa Islam di setiap pelusuk tempat akan menjadikan ia terus menerus tersebar. Bagi siswa siswa, bersama menyuburkan kampus kita dengan siraman Islami. Semoga dakwah kampus akan terus meningkat. Salam juang dariku untuk semua.

ISLAM AKAN TERUS TERTEGAK MESKI TANPA DIRIMU, NAMUN PILIHLAH UNTUK BERSAMA BERADA DI ATAS BAHTERA DAKWAH DAN TERUSLAH BERSAMA KHAFILAH DAKWAH

18 August 2009

RAIKAN KEDATANGAN"NYA"

Assalamualaikum w.b.t
Salam penuh kerinduan buat akhawat semua, semoga Allah masih lagi memilih kita untuk berdiri dalam saff-Nya. Rodhitu billahi Rabba, wa bil Islami Dina, wa bi Muhammadin Nabiya wa Rasula. Tak terungkap perasaan di dada tatkala menghitung hari menuju menyambut Tetamu Agung..RAMADHAN KAREEM. Bulan yang permulaanya rahmat,pertengahannya maghfirah dan di akhirnya adalah pembebasan dari api neraka. Semoga Allah memberi kesempatan kepada kita untuk memasuki Madrasah Tarbiyah ini dan terus memanfaatkan setiap detik darinya. Sebagaimana besarnya ganjaran bagi sesiapa yang hanya merasa gembira dengan kedatangan Ramadhan, maka diharamkan neraka baginya. Masya-Allah akhawat..ini baru gembira,itu belum lagi dihitung amalan kita.. Subhanallah Maha Pemurah nya Allah pada kita. Namun kita masih lagi ada yang mensia-siakannya. Janganlah..janganlah lepaskannya kerana peluang ini hanya sekali setahun. Untuk Ramadhan ini pun tiada apa yang dapat menjamin kita dapat melaluinya untuk tahun ini. Meskipun kita sangat hampir dengannya, namun belum tentu kita dapat memasukinya. Kerana itu berdoalah sentiasa agar Allah sudi menjemput kita lagi untuk menjadi tetamu Ramadhan kali ini. Kebergantungan pada Allah itulah satu-satunya yang akan menguatkan dan meneguhkan kita wahai akahwat. ”Ya Allah ya Tuhan kami, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. "Ya Allah..pilihlah kami menjadi tetamunya ya Allah..kerana rindu yang tak tertanggung ini untuk bertemu dengannya...".

Namun, persediaan-persediaan juga haruslah disiapkan agar nanti kita tidak terkejut, tidak terlalu lemah dan tidak asyik terlupa di saat memasuki gerbang Ramadhan nanti. Besiap sedia dengan fizikalnya, mentalnya, dan paling penting ruhnya. Harapnya hari pertama lagi sudah mampu memecut ya, ameen..mudah-mudahan..

Bulan Ramadhan nanti pasti duit untuk makan tengahari dah jimat. Apatah lagi jika iftarnya di masjid, setiap hari pula. Pasti perbelanjaan untu makanan dapat dijimatkan ongkosnya. Masya-Allah luasnya rezeki Allah pada kita. Tetapi bagaimana pula saudara kita yang tidak ada sesuatu untuk berbuka puasa. Bayangkan saja untuk memcari sesuap makanan sebagai alas perut pun bukan main susah lagi. Saudara Palestina kita, cuba kenangkan mereka, kita di sini sampai melimpah-limpah makanannya, sedangkan mereka disana menggigil menahan lapar. Namun itulah insan-insan yang Allah pilih, mereka tak goyah walau apa jua rintangannya. Astaghfirullahal a’zim..kita bagaimana? Maka akhawat, ayuhlah kita menjadi orang yang membantu saudara-saudara kita. Duit belanja kita yang disimpan itu jika kita menghulurkan pada mereka Masya-Allah tak terhitung pahalanya. Nanti bila nampak saja kotak infak dan tabung palestin, semua berebut-rebut untuk infak dulu. Sebagaimana Rasulullah mengkahbarkan berita gembira bagi sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka dia juga akan mendapat pahalanya sebagaimana orang yang berpuasa. Nah! Fastabiqul khairat..ayuh bersegeralah kita merebutnya..

Segala yang baik hanya dari Allah, mohon maaf atas kekurangannya, Semoga ada sesuatu yang boleh diambil dari perkongsian ini.

26 June 2009

Mari bicara tentang HATI..

Assalamualaikum w.b.t


Kaifa halukum jami'an? suka mengajak sahabat para pembaca untuk berdiskusi tentang hati. Ya hati..raja bagi segala anggota. Jika hati itu baik, maka baiklah seluruh anggotanya. Jika buruk maka buruklah seluruh anggotanya. Itulah dia hati, pemerintah kepada negara tubuh badan.

Hati, sifatnya yang sentiasa akn berbolak balik. Hati, disitulah punca segala niat. Punca kepada kebaikan dan kejahatan. Juga tempat beradanya iman. Hati, berbeza keadaannya saat bersama insan yang asyik memburu kebaikan dan disaat berada di kalangan insan yang biasa-biasa saja antara baik dan buruk.

Persekitaran, faktor paling baik yang mempengaruhi turun naiknya iman. Teman-teman disekeliling, keluarga dan suasana dunia yang suka pada kelalaian dan keseronokkan. Disinilah, tarbiyah dzatiyah menjadi peranan penting. Jika selalunya dipantau murabbi, tapi saat berada jauh darinya siapa lagi yang akan menjaga diri melainkan diri sendiri.

Teringat tentang kisah Hanzalah sahabat Rasulullah s.a.w. Suatu ketika, Hanzalah merasa dirinya telah menjadi munafiq. Apabila ditanya saidina Abu Bakar bagaimana keadaanya, Hanzalah mengatakan ia telah menjadi munafiq. Diceritakan kepada sahabat Abu Bakar, saat berada bersama Rasulullah mereka diingatkan dengan syurga dan neraka sehingga dapat merasainya seolah2 dapat melihatnya secara langsung. Tapi, setelah berkumpul dengan anak isteri, ia langsung melupakannya. Begitu juga halnya dengan Abu Bakar. Lalu mereka berjumpa dengan Rasulullah dan mengadu kepada baginda.

Rasulullah bersabda : Demi Dzat yang jiwaku berada ditangan-Nya, andaikata kalian selamanya bisa terus seperti ketika bersamaku, nescaya kalian akan disalami oleh para malaikat baik ditempat tidurmu mahupun dijalanmu. Akan tetapi wahai Hanzalah, kadang-kadang ingat dan kadang-kadang lupa. Baginda mengulanginya hingga tiga kali.

Lalu bagaimana dengan kita? Saat pulang bercuti dikampung, pasti akan teruji iman. Ibu pasti akan menyediakan masakan yang sedap-sedap. Hendak berpuasa sunat pun dua kali fikir ya. Saat itulah dilihat samada kita mampu atau masih bertarik tali dengan nafsu. Semuanya bertitik tolak dari iman yang berada di dalam hati.

Sedikit sebanyak yang diceritakan disini bersumberkan dari buku yang dibaca. "Agar Akhirat Dekat di Hati", hasil karya Syeikh Mahmud Al-Misyri. Buku ini sangat berharga dan sesuai bagi kita yang ingin mendapatkan hati yang sihat.

Ibnu Mas'ud berkata : Carilah hatimu pada 3 kesempatan, tatkala mendengar bacaan Quran, berada di majlis dzikir dan ketika bersendirian menghadap Allah. Jika kamu tidak mendapati hatimu pada 3 keadaan ini, bereari kamu harus memohon agar Allah menganugerahkan hati kepadamu, sebab sama saja engkau tidak punya hati.

Ketahuilah, sesungguhnya hati kita telah keras tatkala tidak lagi khusyuk dan gentar mendengar bacaan ayat al-Quran, hati yang tidak lagi tenang ketika di majlis yang mengingatkan pada Allah dan hati tidak termasuk dalam golongan yang sentiasa merasakan pengawasan Allah.Jadi,segeralah mencari penawar bagi hati yang telah keras ini.

Nabi s.a.w bersabda : "sesungguhnya iman itu akan usang di dalam hati salah seorang dari kalian sebagaimana usangnya kain, oleh sebab itu maka mintalah kepada Allah agar memperbaharui iman yang ada dalam hati kalian."

YA ALLAH..PERBAHARUILAH IMAN DALAM HATI KAMI...

24 June 2009

Kisah seorang ABAH..

Setelah sekian ketika blog ini terbiar atas beberapa perkara termasuklah kerana pengurusan masa yang masih belum cekap. Namun, sentiasa ingin memperbaiki diri kerana tarbiyah telah mengajar kita untuk menyusun masa dengan baik, walaupun kita sendiri tidak menyedarinya.

Untuk kali ini, ingin mencoretkan sesuatu untuk ABAH..sempena Hari Bapa yang lepas.
Abah, itulah dia insan yang menjadi penyebab hadirnya diriku di dunia ini. Melalui abahlah hingga aku kini berada disini..untuk waktu yang seketika demi berusaha menunaikan janji yang telah aku katakan 21 tahun lalu dihadapan Allah. Meskipun aku sendiri tidak pasti apa yang aku katakan, namun yang pasti kelahiranku adalah sesuatu amanah yang harus ditunaikan.

Abah, kini usianya telah mencecah 68 tahun. Abah, seorang lelaki yang cukup aku kagumi. Abah, sejak usianya baru 4 tahun, ayahnya telah kembali menghadap tuhan. Membesar dengan kasih ayah dan ibu hanya dari bondanya. Kesempitan hidup ketika itu membuatkan abah tidak mampu menhabiskan persekolahannya, cuma setakat darjah 3. Mujurlah abah pandai mengaji, membaca, dan mengira. Hanya dengan sedikit ilmu itulah abah membesarkan kami 8 beradik.

Kerana tiada kelulusan, abah melakukan apa2 sahaja kerja yang halal demi menyara kehidupan. Bermula dari kelahiran kakak sulung, abah melakukan kerja-kerja hutan, menebang balak, berniaga kecil2an. Tubuh kurusnya digunakan semaksima mngkin untuk membanting tulang dan memerah keringat demi keluarga tercinta. Hinggalah satu hari cikgu besar bekas sekolah abah dulu datang membawa berita bahawa tanah rancangan felda akan dibuka di Pahang. Hasil perbincangan bersama mak, akhirnya langkah diteruskan untuk menjadi seorang peneroka.

Kami 4 beradik lagi lahir di tanah Jengka 10 ini. Cita-cita abah yang mahu melihat kami semua berjaya, menjadi insan berguna. Abah mahu kami semua mendapat pendidikan yang cukup, bukan seperti abah dahulu. Jika tiada duit sekalipun, itu bukan penghalang bagi abah. Istilah "ABAH takda duit" untuk persekolahan kami tidak pernah keluar dari bibirnya. Apa yang penting, kami semua bersekolah dapat ilmu, jadi orang berguna.

Abah tak pernah kisahkan penat dirinya, walaupun terpaksa cari kerja-kerja tambahan. Keluar pagi, lewat petang baru pulang. Namun, Alhamdulillah..semakin hari kehidupan bertambah baik. Kerana dilahirkan paling lewat, maka tak berpeluang melihat sendiri bagaimana susahnya abah ketika itu. Hanya sekadar mendengar cerita daripada mak, abah, abang2 dan kakak2. Abah cuba memperbaiki kehidupan kami sekeluarga agar lebih selesa.

Abah ini sifatnya mudah kesian, hatinya mudah tersentuh, jiwanya lembut meskipun jika dilihat dari raut wajahnya, percakapannya abah kelihatan tegas dan garang. Melihat abang ketika sekitar usia 8 tahun, hampir setiap malam berdiri di pintu rumah jiran menumpang menonton televisyen. Abah mencari duit lebih agar tv dapat dibeli, sekligus menjadikan syarat supaya lebih tekun belajar.

Pendidikan sangat2 ditekankan kepada kami semua, terutama ilmu agama yang akan menjadi bekal kami meneruskan hidup. Siapa ponteng mengaji, siaplah dirotan. Siapa ponteng sekolah, lawan cakap cikgu sedialah mendapat hukumannya. Sikap tegas abah membuatkan kami takut untuk buat perkara-perkara yang mengundang rotan hinggap di kaki. Begitu abah mendidik kami. Manakala mak pula bijak mengatur langkah, setelah kami dimarahi abah, mak pula mengganti tempat memberi nasihat, dan merawat kesedihan dimarah oleh abah.

Alhamdulillah kini kami semua telah menamatkan sesi persekolahan formal selama 11 tahun. Masing-masing telah bekerja kecuali yang masih belajar ini. Abah, inilah hasil yang abah corakkan pada kami. Bagi abah, walaupun mungkin ada yang masih tidak menepati kehendak abah, tapi kejayaan sebenar bagi abah adalah punyai anak2 soleh dan solehah yang akan menunjuk jalan pada mak dan abah, dan juga yang akan sentiasa mendoakan mak dan abah. Itulah kejayaan hakiki dari lubuk harapan seorang abah.

Tulang empat kerat abah masih lagi digunakan untuk mengurus lembu dan ladang. Katanya, "abah ni tak boleh duk diam, nanti sakit". Alhamdulillah abah dan mak dijauhkan dari penyakit2 yang berbahaya. Harapan mereka agar senang beribadat. Yang paling mak selalu cerita tentang harapan mak dan abah kepada setiap satu dari kami. Niat abah untuk lihat kami jadi begini dan begitu sejak kami dalam perut mak lagi.

Satu lagi cita-cita abah yang belum tercapai, menunaikan haji di Tanah Suci Mekah. Beberapa kali rayuan telah dibuat, namun belum ada isyarat panggilan dari ALLAH. Namun mereka sabar menanti. Aku doakan semoga Allah memudahkan perjalanan abah dan mak menuju ke sana. Ya ALLAH.. berilah kesempatan pada mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima di bumi barakah itu..amiin.

Abah....terima kasih atas segalanya.. Atas curahan kasih sayang yang tanpa syarat, atas segala pengorbanan yang kami tak mampu balas, atas petunjuk,nasihat,harapan dan dorongan yang tak pernah lekang dari mulut abah, dan segala2nya yang tak terungkap untuk ABAH.. anda juga pasti punya cerita tentang ayah,abah,abi,walid dan bapa anda sendiri.

Jadilah sesuatu yang berharga untukknya..sementara mereka masih ada, berbaktilah pada mereka. Andai mereka telah tiada, maka doakanlah mereka dan sambunglah silaturrahim dengan sahabat mereka. Sebenarnya SETIAP ibubapa merasakan kejayaan dalam mendidik anak2 adlah apabila mereka memperolehi anak2 yang soleh dan solehah. Jika kita belum, maka jadilah. Jika sudah berusaha, maka istiqamahlah dan mohonlah agar Allah menetapkan kita dalam kesolehan dan memayungi ayahnda dan bonda dengan rahmat kasih-Nya.


Inilah wiraku..jantung hatiku..ABAH
EN. ISMAIL B SAAD

28 May 2009

Apabila ALLAH MENGHINAKAN MEREKA...




Kuarantin dua warga AS tamat ( METRO ).
PUTRAJAYA: Tempoh kuarantin dua warga Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kontak dengan warga negara Hong Kong yang disahkan positif Influeza A (H1N1) berakhir hari ini dan kedua-duanya dalam keadaan sihat.

******************************




Sedikit ingin mengulas tentang musibah yang Allah hempapkan pada warga dunia - wabak influenza n1h1. Itulah wabak yang pada mulanya bermula di Mexico dan kini telah merebak di serata dunia, Malaysia juga tak terkecuali.

Satu pengajaran dari musibah ini yang ingin dikongsi bersama rakan pembaca. APABILA ALLAH MENGHINAKAN MEREKA.

Negara kedua yang dijangkiti penyakit ini adalah Amerika. Ya..itu negara gah yang menjadi kuasa besar dunia sekaligus selaku tali pengarah dalam sandiwara dunia, Israel pula adalah watak utamanya.

Mari kita imbau sejarah, mungkin bagi yang sudah tahu, ini sebagai ulangan agar kita tidak sekadar tahu, dan bagi yang belum tahu, ini adalah ilmu baru. "Pemboikotan ke atas Bani Hasyim". Ketika Nabi Muhammad S.A.W bersama isteri tercinta, Khadijah bt. Khuwailid serta para sahabat yang berusaha menyebarkan Islam dan mempertahankan agama suci yang mereka anuti itu, mereka telah diboikot.

Sebarang hubungan diharamkan ke atas mereka. Nabi dan para sahabat sehingga tidak mampu mendapatkan makanan kerana harga yang ditawarkan terlalu tinggi dan kewangan mereka amatlah terhad, akhirnya terpaksa redha dan bersabar hatta mereka memakan pucuk-pucuk kayu sehingga mulut mereka luka dan najis mereka tak ubah sepertinya najis unta. Masya-Allah insan yang sungguh luar biasa. Namun, untuk menggadai Islam tidak akan sekali.

Begitu tabahnya insan yang ditarbiyah Allah dan Rasullullah ini. Mereka tak mahu mengaku kalah. Kerana iman yang menebal mampu membuat mereka bertahan. Kemana pun mereka pergi, telinga tak kering mendengar kejian dan cacian yang dilontar. Tidak cukup dengan itu fizikal mereka juga disakiti. Selama 3tahun pemboikotan itu berlaku, dan akhirnya Allah telah memenangkan mereka.

Hidup ini ibarat roda..

Lihatlah, jika dahulu mereka memperhinakan kaum muslimin. Nah, sekarang rasakan! Allah telah memperhinakan mereka dengan dunia memboikot mereka. Bukan satu dua bangsa, tapi satu dunia.

Lihat bagaimana warga Amerika ini yang duitnya menebal dipoket mahu bercuti ke Malaysia. Namun, akhirnya terpaksa dikuarantin buat beberapa ketika. Niat untuk bercuti bertukar haru. Mereka ini sedaya upaya membuktikan yang mereka bebas dari 'bala' ini. Namun, apabila didapati mereka warga Amerika, cepat-cepat ditahan dan dikuarantin. Bimbang akan berjangkit. Bukan hanya rakyatnya dikuarantin, 'orang kuatnya' juga tak terkecuali. Bukan saja di Malaysia, malah diseluruh dunia. Hakikatnya dunia telah memboikot mereka.

Mereka merancang tipu daya, tapi sesunggunya tipu daya ALLAH itu lebih hebat.

26 May 2009

BERUBAH UNTUK MERUBAH...

Termenung seketika..



Dua tiga hari ni bila buka je paper rasa macam-macam. Sedih ada, geram ada..entahlah semua perasaan dan bercampur baur. Namun bukan itu yang ingin diperkatakan. Cuma ingin berkongsi macam-macam sudah berlaku pada saudara seakidah kita. Selak saja suratkhabar Metro, akhbar paling laris dan paling hangat melaporkan apa yang berlaku dalam negara pasti anda akan jumpa 1001 macam masalah dan penyakit sosial yang menimpa negara tercinta kita ini.
" Apa la nak jadi dengan umat kita ni..", luahan bimbang dengan keadaan yang berlaku.

"Masyarakat kita jadi macam ni, cuba tengok di sekeliling kita..lihat apa yang terjadi..",luah seorang lagi teman membuat kami yang berada disitu semua berfikir.

"Em..sekeliling kita ni penuh dengan hiburan, jenayah, masalah sosial tak henti-henti..masyarakat turut mengikut arusnya..yang terlibat kebanyakannya remaja, sedihnya..bila bukak je tv pelbagai program realiti tv yang semuanya nak jadi selebriti..kanak2 pun dah didedahkan dengan dunia ini..lihat betapa suasana tempat kita hidup tu sangatlah memberi kesan pada kita. Jika hidup dalam komuniti yang sukakan jenayah, akhir-akhirnya kita pun akan terjebak sama. Sebab tu lah kita kena berada dikalangan orang yang soleh agar kita juga soleh sama macam orang tadi", satu lagi suara timbul.

"Tapi kita baik sorang-sorang tak cukup..tanggungjawabkita untuk ajak orang lain jadi baik tu mesti kita jalankan, kalau tidak, ahkirat nanti Allah tanya apa kita nak jawab?", yang lain menambah.

"Jadi,kerana itu kita kena tahu yang masyarakat kita ni belum lagi bebas..kita kena sedar yang pemikiran kita ni masih lagi dijajah, mereka (kafir) itu bukan nak sangat kita sampai keluar agama, tapi cukuplah kita memporak perandakan agama kita sendiri. Cukuplah sekadar kita ikut gaya hidup mereka yang jauh menyimpang dari apa yang Allah suruh", idea dari senior membuat semua diam berfikir.

"Jadi sekarang kita dah tahu kan? kita dah sedarkan? kerana kita dah tahu dan sedar, maka kita kena sedarkan mereka yang masih belum sedar dan yang buat-buat tak sedar ni..setuju??", lontaran cabaran.

"Setujuu..", yang lain menyahut.

Perbincangan kami berakir disitu.

********************

Aduuh...masyarakat kita sedang tenat wahai para pembaca!!!

Tak tau lagi dalam kondisi apa yang saya mahu katakan, agaknya kalau seorang pesakit tu rasanya dah tahap masuk ICU tingga tunggu ajal je la.


Siapa yang terlibat?? ya!!muslim majoritinya...barangkali anak-anak kita, abang kakak kita, adik-adik kita..namun kerana telinga dah lali mendengar berita-berita ini, mata malas dah nak menatap berita dek jenayah yang terlalu berleluasa..sedar tak sedar masalah ini rupanya sudah mula merebak dalam keluarga kita.


Satu hari bila dah terpampang di dada akhbar yang penjenayah itu rupanya adik-beradik kita barulah nak mula rasa sedar bahawa mencegah itu lebih baik dari merawati yang sudah parah menderita.





Kita mendabik dada mengatakan Malaysia adalah negara paling aman, hidup harmoni dan macam-macam lagi la. Tapi hakikatnya? saya yakin anda lebih mengerti. Lihat saja, setiap hari, setiap jam pasti ada saja rompak, ragut, bunuh, dan macam-macam lagi yang membuatkan diri rasa tidak selamat lagi untuk melangkah kaki keluar. Gerun mendengar, bimbang saja berhadapan dengan situasi sebegini. Na'uzubillahi min zalik.


Tolonglah saudaraku..bantulah mereka yang sedang terkapai-kapai hampir kelemasan dalam tipuan dunia. Tolonglah jangan buat-buat buta, jangan buat-buat pekak, jangan buat-buat tak tahu yang masyarakat kita sudah semakin hancur. Hidup penuh dengan hiburan, keseronokan, dan kemaksiatan. Tolonglah bantu mereka..mari bersama pedulikan mereka. Jangan hanya buat kebaikan hanya untuk diri sendiri tanpa memperduli orang lain. Jangan cukup berpuas hati andai kita tak terjebak dalam kancah ini, kerana tiada apa dapat menjamin kita selamat dari ditimpa musibah ini. Bala dari Allah tak mengenal siapa yang soleh siapa yang tidak. Maka dengan itu, sebelum terlambat sebelum Allah 'bersihkan' bumi Malaya ini ayuhlah kita berganding bahu melakukan sesuatu agar dapat penyakit ini dapat dikurangkan..


Caranya apa??
  • hidupkan suasana islami disekeliling kita, tidaklah terlalu formal..mula la sikit-sikit.
  • ajak kawan-kawan kita ke majlis-majlis ilmu agar kita dan mereka tidak jahil dan faham tentang agama.
  • sentiasa lakukan perbincangan agar minda lebih terbuka sekaligus cari jalan untuk menangani sekurang-kurangnya menyelamatkan diri sendiri.
  • banyakkan memuhasabah diri dan mendekatkn diri pada Allah.
  • bergaullah dengan teman-teman yang baik.

Ini hanya cadangan yang sedikit dan maaf kurang teratur..banyak lagi sebenarnya. Cuma apa yang penting?? perbaiki diri dan dalam masa yang sama ajaklah yang lain bersama. Bermula dari diri saya dan anda yang sedar, dan berusahalah menyedarkan orang lain. BERUBAH UNTUK MERUBAH..