topbella

25 August 2011

Wahai Tuhan...


Oh Tuhan
Hamba-Mu ini kekeliruan
Sukar mencari jalan yang benar
Kerna dipaut hasut dunia
Mencintai yang lain lebih dari-Mu

Oh Tuhan
Hidayah-Mu pernah hadir
Hingga kering airmataku menitis
Namun terkadang aku berpaling
Kerna mengejar nikmat dunia sementara

Hari ini ku bimbangi
Jika terakhir hidup
Adakah lagi subuh esok
Untuk ku bernafas
Dan sujud mengabdi pada-Mu
Oh Tuhan

Berikan daku kesempatan
Menebus kesalahan
Lantaran dosa dan noda
Dan sengaja melupakanmu
Hadirkan damai
Sebelum di hujung nafasku

Oh Tuhan
Berikan daku petunjuk-Mu
Untuk ku meniti ke jalan redha-Mu
Izinkan daku mengulangi
Janji-janji yang baru
Taubat nasuha setulus untuk-Mu
Oh Tuhan

Rahmat kasihMu Tuhan
Ampunan-Mu ku damba

Tajuk Nasyid : Jika Terakhir Buatku
Artis : Saujana

video

10 August 2011

Ramadhan dan Kesabaran..


Bismillahirrahmanirrahim...setinggi-tinggi syukur buat Tuhan Sekalian Alam yang telah menciptakan diri ini dan memberi nikmat-nikmatnya yang tiada terhitung lagi, selawat dan salam buat Rasulullah, Kekasih Allah, keluarga baginda, para sahabat dan salam Ramadhan buat semua yang sedang menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini.

Ramadhan sudah satu per tiga berlalu, kini masih berbaki dua per tiga daripadanya. Semoga yang telah berlalu itu kita harapkan segala amal yang telah kita lakukan Allah menerimanya. Dan yang bakal dilalui ini semoga Allah menguatkan kita untuk terus teguh dan sabar serta terus diberi peluang untuk berada dalam madrasah Ramadhan ini..amiin..

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya bulan agung yang telah dihadiahkan khas buat umat Nabi Muhammad s.a.w ini sebenarnya penuh dengan didikan-didikan buat kita. Dalam bulan ini umat Islam dilatih dengan berbagai perkara. Dan apa yang mahu dikongsikan disini adalah tentang keterkaitan Ramadhan dan Kesabaran.

وَالصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ
Puasa itu setengah sabar (HR. Tirmidzi)

Ibadah Puasa yang merupakan rukun Islam ketiga ini melatih kita untuk menahan diri. Puasa itu sendiri yang mana pada dasarnya membawa erti menahan. Menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Itu definisi am yang umumnya tahu.

Tingkatan-tingkatan Puasa

Dan, proses menahan diri ini boleh jadi berbeza-beza mengikut tahap keimanan individu itu sendiri. Ada yang hanya mampu menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja. Ada juga yang mampu menahan dirinya daripada berbuat maksiat atau perkara-perkara yang dapat mengurangi pahala puasanya. Bahkan juga ada yang mampu melaksanakan puasanya dengan begitu sempurna, iaitu puasa para Nabi dan orang-orang yang sangat dekat dengan Allah. Semoga kita juga mampu berusaha untuk meningkatkan kualiti puasa kita dari hari ke hari, tahun ke tahun. Barangkali Ramadhan ini yang terakhir, maka marilah kita berikan yang terbaik. Berikan yang terbaik untuk Allah. SABAR untuk berikan yang terbaik.

“Setiap amalan anak Adam akan dilipatgandakan pahalanya. Satu kebaikan akan berganda menjadi 10 kebaikan sampai 700 kali ganda. Allah berkata, “Kecuali puasa, Aku yang akan membalas orang yang mengerjakannya, kerana dia telah meninggalkan keinginan-keinginan hawa nafsu dan makannya kerana Aku.” (HR. Muslim)

Bila harus SABAR?

Islam telah menggariskan bahawa sabar pada tiga perkara. Pertama, Sabar dalam melakukan ketaatan. Kedua, Sabar meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Dan yang terakhir, Sabar ketika ditimpa musibah.

Dan bila mana kita berada di dalam madrasah ramadhan ini, kesabaran kita pastinya akan terus teruji. Teruji pada tiga perkara tadi. Sabar kita diuji ketika ingin melakukan kebaikan-kebaikan. Aktiviti-aktiviti tetap sama yang harus dilakukan seperti bulan-bulan yang sebelum datangnya Ramadhan. Bagi yang mencari nafkah, mahupun yang menuntut ilmu, menyebarkan dakwah atau apa jua aktiviti kita harus tetap berjalan. Bahkan dengan kehadiran Ramadhan ini, pasti kita harapkan yang lebih baik, lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab dan amanah tersebut. Jika bulan selain Ramadhan jika terasa penat boleh segera meneguk air atau mengisi perut untuk mengembalikan tenaga. Tapi semasa Ramadhan tidak boleh lagi. Ketika itu harus sabar, untuk menjaga ibadah puasa kita.

Ditambah dengan kobaran semangat berada di bulan Ramadhan ini untuk menambah dan melipatgandakan amal-amalan kita. Target-target yang telah kita sasarkan pasti mahu dicapai. Solat tarawih mahu tetap dilaksanakan, Al-Quran juga mahu dikhatam, tahajjud juga pasti tidak mahu tinggal lantas mencari Lailatul Qadar sejak malam pertama.Tetapi kadang terasa lelah, disinilah SABAR berperanan. Terus sabar dan sabar untuk tetap melakukan, hati pasti tersenyum bila sabar datang, kerana keyakinan pada janji-janji Tuhan itu kuat. Kita lakukan semua ini untuk siapa? puasa itu untuk Allah, tetapi kebaikan-kebaikan lain itu adalah untuk diri kita sendiri. Bekerja keraslah di ladang dunia ini untuk mendapat hasil tuaian yang tidak terkira diakhirat nanti.

Kemudian SABAR kita diuji lagi ketika mahu meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Menahan diri daripada melakukan larangan-larangan itu padanya ada ganjaran. Tetapi menahan diri dan terus berpaling disaat sedetik lagi kemaksiatan itu akan dilakukan, maka pahalanya pasti lebih besar. Perang terbesar ketika itu, menentang hawa nafsu.

Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda : “Bukanlah puasa itu sekadar menahan makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu (adalah puasa) dari perbuatan keji dan sia-sia. Apabila ada orang yang mencelamu atau membodohimu maka katakanlah : sesungguhnya aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (HR. Ibnu Huzaimah)

Disaat marah sampai ke kemuncak, pasti boleh saja jika mahu disemburkan pada sasarannya tambahan pula yang memarahi itu memang sudah berada ditempat yang benar. Tetapi disaat kemuncak kemarahan itu, lantas cepat-cepat dia duduk beristighfar dan memilih untuk bersabar.

Al Imam Ahmad meriwayatkan hadits dari Anas Al Juba’i , bahwa Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda : “Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu meluahkannya, maka Allah menyeru pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk sampai disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu.” (HR. Ahmad)

Disaat mulut ingin mengatakan keburukan mahupun keaiban orang lain, maka cepat-cepat dia beristighfar. Disaat berjalan-jalan di bazar Ramadhan mencari juadah untuk berbuka, terasa ingin menurut kesemua keinginannya untuk membeli itu dan ini. Tetapi dengan cepat ia memadamkan keinginan semuanya itu dan memilih untuk bersederhana. MasyaAllah, itu adalah lebih baik untuknya. Bahkan kita bukan sahaja dilatih untuk meninggalkan perkara-perkara maksiat, bahkan menjauhi yang halal. Apabila yang halal itu saja mampu dijauhi, apatah lagi meninggalkan yang haram. InsyaAllah lebih lagi.

Hampir sebulan kita ditempa untuk sentiasa untuk terus menerus berSABAR. Moga-moga ujian-ujian mendatang kita akan terus mamapu untuk laluinya berbekalkan sabar yang kita latih pada Ramadhan ini.

Mengapa harus SABAR?

Jawapannya mudah. Pertama, kerana ALLAH. Allah banyak mengingatkan orang mukmin untuk sentiasa bersabar, kerana Allah berserta dengan mereka dan pasti pahalanya tiada terkira. Jadi, jika kita mahu Allah sentiasa untuk bersama dengan kita, maka bersabarlah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (QS. Al-Baqarah : 153)

Kedua, kerana ujian kita ini tidaklah seberapa berbanding dengan Rasulullah. Rasullullah ke medan perang lagi ketika sedang berpuasa. Kita?apalah sangat jika hendak dibandingkan. Tambahan pula musuh nyata kita telah dibelenggu. Jadi, bersabarlah.

Ketiga, kerana dengan sabar inilah mampu menjadikan kita hamba yang bersyukur. Kita bersyukur disaat kita boleh melakukan amal-amal kebajikan dalam keadaan tubuh badan yang masih sihat dan kuat. Kita jadi bersyukur apabila Allah mendorongkan hati kita untuk melakukan amal-amal soleh itu. Eh, jangan disangka kita melakukan amal-amalan itu kerana kita memang mahu dan mampu lakukan, tetapi semua itu kerana hidayah dan izin Allah buat diri kita. Jangan lupa itu. Dan juga, kita jadi bersyukur kerana Allah jugalah yang memberi hidayah pada kita untuk tidak melakukan dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah itu. Allah segera datangkan perasaan bersalah dan menyesal dalam diri kita yang menyebabkan kita memilih untuk bersabar dan tidak melakukan perkara tersebut. Maka, bersabar dan bersyukurlah.

Maka, siapa yang beruntung??

Merekalah, orang-orang yang bersabar. Pilihlah untuk berada dipihak yang mana.

"Wahai orang-orang yang percaya, bersabarlah, dan berlumba-lumbalah kamu dalam kesabaran, dan berteguhlah, dan takutilah Allah agar kamu beruntung". (Ali-Imraan :200)

Penutup

Sekadar ini perkongsian buat para pembaca. Mari kita sama-sama muhasabah diri kita agar kesilapan-kesilapan itu dapat segera diperbetulkan. Perkongsian ini terutama nasihat penting buat yang menulis. Semoga manfaatnya kita kongsikan bersama. Jom raih sebanyak-banyak keampunan, pahala serta mengharapkan rahmat daripada Allah buat kita semua. Ya Allah, terimalah apa yang yang kami persembahkan untukmu. Andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah kami diantara hambaMu yang mendapat keampunan dan rahmat daripadaMu ya Rabb...

"Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan iman dan penuh pengharapan serta ketulusan, niscaya Allah akan mengampuni segala dosa-dosanya yang telah lalu." (Muttafaqun 'alaih).

25 July 2011

Teruslah MELANGKAH...


Sahabatku,
Biar ujian seberat gunung,
Walaupun kau jatuh ke lubuk yang dalam,
Terperosok,
Hitam dan seakan-akan tiada cahaya,
Jangan kau mengalah,
Teruslah melangkah.

Teruskan melangkah,
Walaupun ia tidak mudah,
Biar langkahanmu kecil atau tidak gagah,
Ku tahu,
Pasti ia berat dan payah,
Namun itu semua tidak menjadi masalah,
Asalkan kau terus melangkah,
Ya, asalkan kau terus melangkah.

Bangkitlah!
Angkat wajahmu,
Bersihkan kotoran di bajumu,
Buka jendela yang menutupi ruang-ruang hidupmu,
Keluarlah dikau,
Dan lihatlah sinar mentari itu!

Sahabatku,
Teruskan langkahanmu,
Lagi, dan lagi,
Jangan sesekali kau hentikannya,
Ya,
Jangan, dan jangan,
Kerana aku,
Amat-amat kepingin,
Agar dikau dapat sama-sama merasai,
Keindahan hari esok itu.

Teruskan langkahanmu, wahai sahabatku...

-Artikel Iluvislam.com

Lukisan hati..

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam buat Kekasih Allah, keluarga baginda, dan para sahabat, serta buat ummat Islam seluruhnya. Lailaha illallah wa asyhadu anna muhammadar Rasulullah. Kalimatul ikhlas yang wajib sentiasa diperbaharui, lafaz-lafaz syukur yang mesti digandakan. Semoga rahmat Allah melimpahi kita semua. Allahu Akbar..

Hampir setahun tidak memberi sedekah disini. Alangkah ruginya, namun banyak perkara telah berlaku dalam tempoh setahun ini. Suka, duka, sedih, gembira. Semuanya ada. Itulah lumrah hidup yang tetap harus ditempuhi. Yang pastinya semuanya ada hikmahnya yang tersembunyi. Allah jua lah yang lebih mengetahui. Dan dalam arena penulisan ini juga aku harus bangkit kembali memberi dan terus memberi. Dan sekuat hati ku gagahkan diri untuk terus mengisi relung jiwa ini dengan ilmu dan memastikan ia terjaga bersih agar mudah dan terus ikhlas untukku memberi. Semoga yang kecil ini ada juga sahamnya di akhirat kelak.

Dari mula menapak kecil, kemudian jatuh, bangun kembali, terus melangkah lagi. Langkah demi langkah kemudian mahu sedikit berlari, kemudian jatuh lagi dipertengahan jalan. Ujian dipertengahan jalan datang silih berganti. Cekalkan hati kemudian bangun lagi, kerana perjalanan masih jauh. Perjuangan ini harus diteruskan. Nyawa ini akan menjadi taruhan asalkan aku bisa sampai ke destinasi dan menggapai apa yang ku cari selama ini. Inilah perjalanan dalam sebuah kehidupan. Perjalanan dalam jalan perjuangan. Ada ketika kita jatuh, ada ketika bangkit. Ada waktu naik dan turunnya. Ujian berbagai rupa samada tika iman meninggi ataupun iman menurun. Terpulang pada hamba itu bagaimana mahu menyingkapinya.

BERBAIK SANGKA DENGAN ALLAH. Itu kuncinya. Sifirnya mudah. Kerana apa yang manusia lihat baik itu kadangkala ia tidak baik pada pandangan Allah. Bahkan terkadang pada pandangan manusia itu buruk, tetapi di sisi Allah ia adalah mulia. Apapun yang terjadi Allah lebih mengetahui. Ujian itu tanda sayang Allah buatmu. Dia mahu kita merenung dan meyingkapi makna disebaliknya itu. Jika kamu bersabar, maka pasti akan diangkatnya darjat buatmu. Allahu Akbar..

Semoga Allah terus menguatkan kita semua hingga sampai ke penghujung destinasi yang baik. Jazakallahukhair buat akhawat tercinta, sahabat2 seperjuangan yang tidak lelah untuk sentiasa menguatkan. Ku doakan agar Allah terus mengikat hati kita untuk terus bersama dalam saff yang sama. Semoga rahmat Allah terlimpah untuk semua insan yang ku kasihi. Perjuangan masih panjang. Langkah dan teruslah melangkah meski dirimu telah lelah. Pastikan kelelahan itu dihujungnya adalah keindahan.

Ya Tuhan...dengarkan hatiku ini..

DISAAT YANG SEPI INI
KU DUDUK SEORANG DIRI
MEMOHON KEAMPUNAN DARI ILAHI

BAK LAUTAN BERGELOMBANG
SIANG MALAM PAGI JUGA PETANG
MENGHARAPKAN KETENANGAN
DARI TUHAN YANG ESA

BETAPA RIMBUNNYA DOSAKU
SEMUA TERLAKAR DILEMBAH USIAKU
SALAH DAN SILAP DIMASA YANG LALU
KINI KU SESALI

KU TIDAK LAYAK KESYURGAMU
NAMUN TAK SANGGUP KE NERAKAMU
KUTUNDUK SUJUD MERENDAH DIRI
KEMBALI PADAMU

CHORUS….

KU TETAP SETIA
PADAMU OH TUHANKU
AKAN KU PATUHI SEGALA
SURUHANMU

AKAN KU JAUHI
SEGALA LARANGANMU
ITULAH TANDA CINTA
CINTA ILAHI
video

05 June 2010

Mencari tunjang kekuatan untuk bermula dan bertindak!


Bismilllahirrahmanirrahim..segala puji buat Tuhan sekalian alam, dan pesuruhya Rasulullah s.a.w, para sahabat, keluarga dan setiap jiwa yang berjuang di jalan Allah. Semoga Allah meredhai kita.

Beberapa hari lepas, satu perhimpunan keamanan telah diadakan di hadapan kedutaan Amerika bagi menunjukkan bantahan umat Islam terhadap tindakan kejam yang telah diperlakukan kepada sukarelawan yang ingin menghantar bantuan ke Gaza.

Dan kelmarin sempat juga hadir ke program yang dianjurkan untuk membangkitkan lagi rasa kesedaran dan kepedulian terhadap saudara kita di Tanah Suci Palestin. Ustadz Hassanuddin antara salah seorang finalis yang berucap di dalam program semalam.

Berkongsi pengalaman dan pesan di FORUM UMUM PALESTIN

Beliau berkongsi dengan kami tentang 3 misi besar mereka mahu ke Gaza. Yang pertama mereka ingin memecahkan tembok ketakutan yang belum ada orang lain berani untuk masuk ke Gaza padahal itu adalah hak kita. Yang kedua kerana mereka sendiri ingin menghantar dan melihat bantuan tersebut selamat sampai kepada saudara di Gaza. Dan yang ketiga, mereka mahu membuka mata dunia akan harus bangkit dan sedar tentang apa yang berlaku di Palestina dan tanggungjawab kita untuk membantu dan melakukan sesuatu.

Ustadz Hasanuddin mengatakan, walaupun misi yang pertama dan kedua belum tercapai, paling tidak misi ketiga mereka berhasil juga. Usaha yang dirasakan kecil itu mampu membuka mata dunia. Begitulah katanya, aturan Allah. Dengan peristiwa mereka diserang itu dunia baru seakan sedar. Semua meluap-luap geram dan berang dengan kelakuan kejam Israel. Tidak kira lagi muslim atau tidak, semua ingin bangun membantu. Ditambah pula dengan Turki yang menjadi tulang belakang kepada kebangkitan ini, maka negara lain yang takut-takut pun sudah berni bersuara.

Di parlimen Malaysia juga, semua telah sepakat mengecam tindakan Israel. Yang muslim dan bukan muslim, yang parti pemerintah dan bukan pemerintah, semuanya harus bersatu. Dan media juga akan digerakkan untuk memperluaskan lagi isu ini. Inilah hikmah yang Allah berikan, begitu banyak. Hanya kita sejauh mana mengambil ibrah daripadanya. Alhamdulillah, semoga langkah kecil ini akan terus laju dan melaju.

Saat dunia hangat dikhabarkan dengan serangan yang dilakukan kepada sukarelawan LL4G, teriakan sana sini tidak henti. Semangat berkobar-kobar. Alhamdulillah sedikit sebanyak tanda kepedulian kita terhadap saudara kita di sana. Namun harus ingat, semangat saja bisa luntur. Suara kencang kita bisa kendur, andai tiada benteng iman yang menjadi peneguh dan bekal tenaga sepanjang pejuangan. Kerana tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Dan untuk mahu berkorban terlahirnya dari kekuatan iman. Luar biasa kan? ya, iman yang utama.

Lihatlah pada sejarah, belajarlah dari sirah

Rasulullah s.a.w mempersiapkan tapak asas Islam yang kuat selama 23 tahun. Dihitung-hitung sekejap saja, kerana selepas itu wilayah Islam tersebar dan berkembang dengan sangat pantas. Kerana yang menggerakkan tadi adalah dari para sahabat yang telah dididik oleh Rasulullah untuk menjadi kader tangguh. Maka pentingnya bermula dengan diri kita. Individu dahulu. Nak tak nak jika mahu kejayaan bagi Islam satu ketika dulu, maka kembalilah kepada asasnya. Tarbiyah dan dakwah. Tiada kata lain itulah jawapannya. Apabila batu asas ini dari individu sudah mula kuat, maka bangunannya nanti pun akan turut tegap dan mantap.

Sepertimana yang dikatakan Imam Asyyahid Hasan Al-Banna, tidak dinamakan jihad jika tiada pengorbanan. Dan titik tolaknya adalah iman. Kerana apa? mahu boikot asalnya, tapi bila berhadapan dengan perkara-perkara yang sudah sebati dalam diri kita, maka kita masih teragak-agak. Baru makanan kegemaran McD dan Milo aah..tidak tahan, kerana sudah lama mendarah daging dalam diri kita. Tapi jika ada imannya disitu, dialah yang akan menjadi konsultant terbaik buat kita, akan memikirkan baik buruknya tindakan kita. Dalam kondisi apa sekalipun.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana lagi aku harus beriman? maka itulah, beriman memang beriman, tapi lihatlah iman kita ditahap mana. Iman tadika? masih banyak terbelenggu oleh nafsu sendiri? mahu yang mudah-mudah saja?. Mahu boikot cukup susah, keluarkan duit kertas rm1 berfikir dua tiga kali? atau bagaimana.

Atau iman di peringkat tinggi bagaimana? Rela mengorbankan apa saja. Masa, kemahuan, harta, kesenangan dunia malah jiwa dan nyawa, kerana imannya percaya apa yang dia akan dapat diakhirnya. Saudara kita yang nekad mahu ke Gaza, mereka tahu risiko yang paling besar adalah menggadaikan nyawa mereka. Kerana itu mereka sudah harus bersedia, bahkan bukan takut, kerana itulah yang harus dicari, cita-cita tertinggi mati syahid di jalan Allah.

Recheck kembali setiap sudut dalam kehidupan

Maka berbaliklah kita kepada jalan yang benar. Recheck kembali bagaimana hubungan kita dengan pencipta kita. Hubungan dengan Allah. Sudah baik?atau banyak yang perlu koreksi. Manakan hubungan sesama manusia akan jadi baik jika hubungan dengan pencipta saja belum selesai. Bagaimana mahu tahu hubungan dengan Allah sudah selesai atau belum? lihatlah kualiti ibadah kita bagaimana, diri kita lebih mengetahui. Kemudian tambahlah juga dengan menghadiri majlis-majlis ilmu. Baru tahu bagaimana punca dan cara memperbaikinya. Dan dengan ilmu yang kita ada, beramallah dengan konsisten, itulah juga yang akan menjana iman kita. Iman itulah nanti akan menentukan ditahap mana kita mampu berbuat.

Akhlak juga, perbaikilah akhlak kita dengan Allah, sesama manusia dan akhlak terhadap diri kita sendiri juga. Iman yang benar akan menghasilkan out put yang juga benar, iaitu kemuliaan akhlak. Belajarlah dari Rasulullah dan para sahabat yang telah banyak memberi contoh pada kita. Para pemuda mereka hebat meski usia baru menginjak belasan tahun, malah mampu penjadi panglima perang, itu sosok Usamah b Zaid. Abu Dzar al-Ghiffari yang datang dari kumpulan perompak dan penyamun di masa kejahiliyahannya, tetapi telah berubah apabila cahaya petunjuk telah menembusi hatinya, telah mencelikkan mata hatinya. Dia malah pemberani yang berani melaungkan syahadah di tengah kelibut orang musyrik. Pemuda hari ini bagaimana kira-kira? Muhasabah untuk diri sendiri.

Ayuh saudaraku..bermuhasabahlah

Apa yang telah ku berbuat? Apa yang telah kita perbuat dengan saudara kita di Palestin. Usaha apa yang telah kita lakukan untuk mereka? Apa lagi yang belum kita lakukan? Janganlah bertanya apa yang perlu kita lakukan, tetapi lakukanlah apa saja usaha yang kita mampu laksanakan, meski ia sebesar kuman dan seberat zarah, semua itu dinilai Allah.

Buatlah apa saja :
1. sentiasa mengupdate berita dunia Islam
2. menggunakan segala sarana yang ada, untuk bersuara, menulis, dll.
3. memboikot - semampu-mampunya dan menyeru orang lain juga turut memboikot.
4. menyampaikan dan meyebarkan kepada sanak saudara, keluarga, kawan-kawan dan siapa saja.
5. infaqlah sebanyaknya yang kita mampu,tiada apa yang hilang dari kita melainkan akn diganti belaka.
6. mendoakan dan mengingati mereka di dalam doa kita.

Bermuhasabahlah..keluarlah dari kepompong nafsu diri, keluarlah dari merasakan berada di zon selesa. Kerana kita akan ditanya, kita akan dituntut untuk menjawab apa yang telah kita lakukan demi saudara kita di Palestin dan Bumi Barakah Palestin dan Masjid Mulia Masjidil Aqsa, Tanah Anbiya' mengapa kita membiarkannya tergadai? Masing-masing akan menjawab dihadapan Tuhannya kelak. Maka bersedialah menghadapinya.

Semboyan semangat untuk Para Pemuda yang sentiasa berUSAHA MENEGAKKAN SYARIAH ALLAH..meskipun masih kecil atau telah berusia, namun imannya sentiasa muda.

Tapakkanlah kaki di jalan Ilahi
Jangan ragu lagia janji surganya pasti
Kobarkanlah api peperangan suci
Yakin kemenangan janjikan bidadari

Bangkitlah segera wahai pemuda
Jangan terlalaikan oleh buai dunia
Di sana ada negeri Islam terluka
Sedarkan jiwamu untuk membela

Siapkan diri, rangkul senjata
Panjatkan doa untuk citakan surga
Pekikkan takbir sampai nafas terakhir
Kejayaan di tangan kita

Satu… hati… bebaskan Palestina
Hancurkan yahudi penjajah
Tegap? maju? dan songsonglah surga
Tak kan pernah gentar
Sampai Al-Quds merdeka

Hahahahahahahahahahaa
Hahahahahahahahahahaa
Aha hahaha Ahahahahaha
Aha hahaha hahahahaha

Satu… hati… bebaskan Palestina
Hancurkan yahudi penjajah
Tegap… maju… dan songsonglah surga
Tak kan pernah gentar
Sampai Al-Quds merdeka

Bangkitlah segera wahai pemuda
Jangan terlalaikan oleh buai dunia
Di sana ada negeri Islam terluka
Sadarkan jiwamu untuk membela

Siapkan diri, rangkul senjata
Panjatkan doa untuk citakan surga
Pekikkan takbir sampai nafas terakhir
Kejayaan di tangan kita

Satu… hati… bebaskan Palestina
Hancurkan yahudi penjajah
Tegap… maju… dan songsonglah surga
Tak kan pernah gentar
Sampai Al-Quds merdeka

Satu… hati… bebaskan Palestina
Hancurkan yahudi penjajah
Tegap… maju… dan songsonglah surga
Tak kan pernah gentar
Sampai Al-Quds merdeka
Tak kan pernah gentar
Sampai Al-Quds merdeka

Tajuk Nasyid : Cita Pemuda
Artis : Shoutul Harokah

02 June 2010

Konvoi LL4G diserang, lihatlah disebaliknya.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat Rasul junjungan Muhammad s.a.w, keluarga, para sahabat, dan sesiapa yang bejuang menegakkan kalimah LA ILAHA ILLALLAH.

Sebagaimana yang dunia kini digemparkan dengan berita mengenai mujahidin dalam konvoi Life Line for Gaza (LL4G) telah diserang oleh tentera Israel laknatullahi a'laih, Dengan peristiwa 31 Mei ini, baru ramai yang ingin membuka mata.Ambillah pengajaran daripadanya. Mari kita lihat beberapa perkara yang boleh di muhasabah kembali. Pentingnya muhasabah ini supaya kelalaian demi kelalaian tidak berulang lagi. Saya ingin kongsikan disini, sangat setuju dengan penulis web Langit Ilahi, beliau mengatakan :

31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita?

Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.

Hakikat sebuah perjuangan

Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:

“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”

Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.

Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.

Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.

Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.

Apa yang telah kita korbankan?

Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.

Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.

Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam

Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.

Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?

Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?

Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran RasulNya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.

Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.

Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.

Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?

Berapa ramai dan berapa ramai?

Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.

Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.

Kita lemah dan tidak berdaya.

Hanya mampu menjerit sahaja.

Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita

Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.

Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi.

Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.

Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.

Itulah dia musuh kita.

Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.

Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.

Jalan kemenangan bukan dengan jeritan

Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.

Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?

Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.

Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.

Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.

Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.

Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.

Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?

Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.

Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.

Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?

Siapakah yang berusaha untuk menang ini?

Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?

Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?

Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?

Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Zaman itu ada semua itu.

Zaman kita apa yang ada?

Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.

Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.

Kenapa mereka tidak menang?

Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.

Tidakkah kita mengambil pengajaran?

Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.

sumber

P/S :Bacalah bukan hanya dengan mata, tapi lihatlah dengan mata hati, renungkan dengan iman.
Kemenangan itu pasti, namun adakah kita salah seorang yang memenangkannya? siapa yang berusaha ke arahnya pasti akan perolehi. Penuhkan masjid-masjid,disetiap waktu solat terutama subuh agar musuh bisa gentar. Solat hajat dan mohonlah doa kepada mereka yang telah menginfaqkan nyawa mereka di jalan Allah ini. Semoga usaha kecil kita itu bisa menjadi saham di akhirat kelak.

26 May 2010

Kematian sentiasa MEMBURU kita!!


Assalamualaikum wbt..
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Selawat dan salam buat penghulu para nabi, Rasulullah s.a.w, para sahabat dan keluarganya.

Hidup dan mati adalah dua perkara terbesar dalam hidup setiap makhluk, samada manusia, haiwan, tumbuhan atau apa saja makhluk di alam ini. Dan bagi manusia samada muslim atau tidak, hidup dan mati adalah perkara yang besar bagi dirinya. Dan bagi muslim, selain dibekali dengan akal dan nafsu, imanlah yang akan memandu kemana hidup ini hendak dituju.

LIFE IS GAMES

Hidup adalah permainan. Setiapa pemain pasti mahu mengumpul mata yang sebanyaknya kerana pasti ada masa penamatnya. Semua pemain berlumba-lumba megumpul dan terus mengumpul mata, sebolehnya cuba mengelak dari terkena penalti, mengelak daripada kehilangan stok-stok nyawa. Terus bermain sehingga kelelahan mengumpul mata, tetapi tidak mahu mengalah dengan lawan. Hinggalah tiba pada detik terakhir pemainan. Tersungkur kepenatan. Namun puas jika menjadi pemenang kerana usaha yang dilakukan telah membuahkan hasil. Strategi yang diguna mengena. Sebaliknya yang kalah akan kecewa, sedih, dan kalau boleh mesti nak lawan lagi. Tapi jika permainan dah sampai peringkat final maka tiada harapan lagi. Panjang umur jumpa tahun depan. Tapi PERMAINAN HIDUP ini hanya sekali. Sampai masa ia harus berhenti maka tetap kena berhenti. Tiada sesi ulangan lagi. Begitulah umpamanya hidup kita.

SAAT KEMATIAN
Wahai saudaraku, marilah kita bertanya kepada diri. Sudahkah kita bersedia menghadapinya? Masa terus berlalu dan berlalu hingga kita tidak menyedari lagi masa
sudah semakin berkurang untuk kita persiapkan diri dengan amal . Masa hampir tamat. Ya tamat daripada memburu amal. Tiada harapan lagi untuk kembali. Lihatlah dahulu ketika kita masih lagi kecil kita adalah manusia yang lemah, banyak yang tidak mampu kita lakukan, namun Allah terus memberi kekuatan untuk kita terus hidup dan berburu amal di dunia ini. Dan satu masa nanti semua anggota ini akan menjadi kaku. Keras dan tidak mampu lagi bergerak. Kerana tempohnya sudah tamat. Time is up. Maka renungilah dengan baik.

“Kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi, dia menghidupkan dan mematikan, dan dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al Hadidi: 2)

“Dan dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Maka apakah kamu tidak memahaminya?” (Al-Mukminun: 80).

Sesungguhnya Rasulullah mengatakan bahawa "orang yang cerdik itu adalah mereka yang memikirkan tentang kematian dan melakukan persediaan untuk menghadapinya. Bahkan orang yang lemah adalah mereka yang hanya berangan-angan dan sering menurutkan hawa nafsu". Mengapa mengingati mati dikatakan cerdik? Kerana dia mengetahui hidup di dunia ini bukanlah destinasi terakhir. Dia mengetahui halatuju hidupkan akan ke mana. Sesungguhnya pengembaraan hidup ini adalah untuk menuju ke destinasi akhir, iaitu Syurga. Maka haruslah ada persediaan dan perancangan yang baik. Supaya cita-cita akhir itu bisa diraih. Setiap dari kita jika ditanya adakah mahu mendapatkan Syurga? Ya, semua dengan cepat mengatakan dirinya mahu. Tapi sejauh mana usaha yang kita lakukan untuk meraihnya? Tepuk dada tanyalah iman.

Banyak manusia telah tertipu dengan mainan dunia. Banyak yang menyangka bahawa dirinya sudah bahagia dengan kejayaan akademik yang dimiliki, dengan keluarga, dengan orang yang dikasihi, dengan harta dan sebagainya. Semuanya adalah fana belaka. Hanya sementara. Kita pasti akan kehilangan semua itu, cuma masa yang akan mementukan samada dia meninggalkan kita atau kita yang terlebih dahulu meninggalkannya. Itu PASTI!. Saat itu tidak akan dianjak masa walau sedetik.

Hikmah Rahsia

Mengapa Allah merahsiakannya daripada kita?. Supaya kita bersedia, berusaha dan berlumba mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan yang akan kita bawa. Hairan. Kita sering melihat kematian yang berlaku disekeliling kita. Tapi masih lagi tiada rasa apa-apa, tidak mahu membayangkan diri kita yang sedang melaluinya. Sedarlah diriku..sedarlah wahai saudaraku..jangan sampai nadi kita telah terhenti dan kita menghadapi Allah dalam keadaan yang tidak bersedia, bahkan lebih teruk dalam keadaan sedang melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Nau'zubillahi min dzalik.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia Telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali Imran: 185)

Kemana kita mahu LARI?

Kemana kita mahu lari lagi?? tiada tempat lagi untuk kita bersembunyi. Selama ini jika kita melakukan kemaksiatan kita sangka mampu bersembunyi dari pengetahuan manusia. Tetapi ingat, kita tidak akan pernah mampu lari dari pengawasan Allah. Jika kita didunia masih mampu lari dari mengingati kematian maka ketahuilah saat kematian itu benar-benar datang, ia akan datang dalam keadaan menerkam!
Pepatah Arab mengatakan Maut itu datang sepeti binatang buas yang mempunyai kuku yang tajam menerkam kita. Dia memburu dan terus memburu kita.

“Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, Maka Sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, Kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu dia beritakan kepadamu apa yang Telah kamu kerjakan.” (Al-Jumu’ah: 8).

Maka jelas lagi terang bahawa ditangan Allah terletak segala-galanya. Dialah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Nanti saya bertaubat

Orang yang masih tidak meyakini mati itu akan tiba, maka tanpa bersalah akan mengatakan begitu. Orang yang tidak bisa memahami agamanya dengan baik maka dia akan mempunyai kefahaman yang salah. Namun ada juga yang telah mengetahui dan menyedari dirinya harus berubah, tetapi tidak bisa melakukan perubahan kerana dia adalah orang yang lemah, hanya mampu berangan-angan dan menurut hawa nafsu. Merasakan masa masih panjang padahal hatinya tidak pernah tenang. Takut melihat kematian dan mahu terus memeluk dunia yang dimilikinya.

Wahai saudaraku..selagi pintu taubat masih terbuka luas, berlarilah menuju kepada-Nya. Janganlah pernah merasakan keputus asaan kerana dosa-dosa yang telah diperbuatkan. Janganlah merasakan diri tidak layak diampunkan kerana Allah itu Maha Pengampun. Siang dan malam Dia sentiasa menanti hambaNya datang untuk mem'bersih'kan dirinya. Jika kita datang kepadanya dalam keadaan berjalan maka Dia seolah akan datang dalam keadaan berlari. Sesungguhnya kita tidak pernah mengetahui masa, cara dan tempat mati yang kita akan hadapi nanti.

“Sesungguhnya Allah, Hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Luqman: 34)

Kesimpulan

Sesungguhnya penghujung nyawa itu adalah menjadi penentu terbesar dalam hidup kita. Samada akan menginap sebentar di taman syurga atau di jurang neraka. Sesungguhnya bagi mukmin itu hidupnya tidak terhenti setakat kematian dari alam dunia. Darul A'mal baginya adalah tempat persinggahan sementara dalam meneruskan perjalanan hidup yang hakiki. Syurga nan abadi.

Tertulis kematian
Pada suratan kehidupan
Namun hanya ALLAH yang tahu
Bilakah ajal bakal bertamu

Detiknya menghampiri
Tanpa petanda yang menanti
Bila tiba saatnya nanti
Tak siapa dapat melarikan diri

Itu hakikat dan kepastian
Hadirnya tidak pernah kita alukan
Tua dan muda, miskin dan kaya
Semua insan pasti melaluinya

Sakit dirasa tidak terkata
Tika dipisahkan jiwa dari jasadnya
Hanya amalan bisa redakan
Bebanan derita di ambang kematian

Denyutan nadi akhirnya terhenti
Bersama nafas yang tak terhela lagi
Kerana jiwa meninggalkan pergi
Pulang kembali untuk menghadap Ilahi

Dari ALLAH kita datang,
KepadaNya kita pasti pulang

Detiknya pasti tiba
Adakah kita bersedia?