topbella

26 May 2010

Kematian sentiasa MEMBURU kita!!


Assalamualaikum wbt..
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Selawat dan salam buat penghulu para nabi, Rasulullah s.a.w, para sahabat dan keluarganya.

Hidup dan mati adalah dua perkara terbesar dalam hidup setiap makhluk, samada manusia, haiwan, tumbuhan atau apa saja makhluk di alam ini. Dan bagi manusia samada muslim atau tidak, hidup dan mati adalah perkara yang besar bagi dirinya. Dan bagi muslim, selain dibekali dengan akal dan nafsu, imanlah yang akan memandu kemana hidup ini hendak dituju.

LIFE IS GAMES

Hidup adalah permainan. Setiapa pemain pasti mahu mengumpul mata yang sebanyaknya kerana pasti ada masa penamatnya. Semua pemain berlumba-lumba megumpul dan terus mengumpul mata, sebolehnya cuba mengelak dari terkena penalti, mengelak daripada kehilangan stok-stok nyawa. Terus bermain sehingga kelelahan mengumpul mata, tetapi tidak mahu mengalah dengan lawan. Hinggalah tiba pada detik terakhir pemainan. Tersungkur kepenatan. Namun puas jika menjadi pemenang kerana usaha yang dilakukan telah membuahkan hasil. Strategi yang diguna mengena. Sebaliknya yang kalah akan kecewa, sedih, dan kalau boleh mesti nak lawan lagi. Tapi jika permainan dah sampai peringkat final maka tiada harapan lagi. Panjang umur jumpa tahun depan. Tapi PERMAINAN HIDUP ini hanya sekali. Sampai masa ia harus berhenti maka tetap kena berhenti. Tiada sesi ulangan lagi. Begitulah umpamanya hidup kita.

SAAT KEMATIAN
Wahai saudaraku, marilah kita bertanya kepada diri. Sudahkah kita bersedia menghadapinya? Masa terus berlalu dan berlalu hingga kita tidak menyedari lagi masa
sudah semakin berkurang untuk kita persiapkan diri dengan amal . Masa hampir tamat. Ya tamat daripada memburu amal. Tiada harapan lagi untuk kembali. Lihatlah dahulu ketika kita masih lagi kecil kita adalah manusia yang lemah, banyak yang tidak mampu kita lakukan, namun Allah terus memberi kekuatan untuk kita terus hidup dan berburu amal di dunia ini. Dan satu masa nanti semua anggota ini akan menjadi kaku. Keras dan tidak mampu lagi bergerak. Kerana tempohnya sudah tamat. Time is up. Maka renungilah dengan baik.

“Kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi, dia menghidupkan dan mematikan, dan dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al Hadidi: 2)

“Dan dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Maka apakah kamu tidak memahaminya?” (Al-Mukminun: 80).

Sesungguhnya Rasulullah mengatakan bahawa "orang yang cerdik itu adalah mereka yang memikirkan tentang kematian dan melakukan persediaan untuk menghadapinya. Bahkan orang yang lemah adalah mereka yang hanya berangan-angan dan sering menurutkan hawa nafsu". Mengapa mengingati mati dikatakan cerdik? Kerana dia mengetahui hidup di dunia ini bukanlah destinasi terakhir. Dia mengetahui halatuju hidupkan akan ke mana. Sesungguhnya pengembaraan hidup ini adalah untuk menuju ke destinasi akhir, iaitu Syurga. Maka haruslah ada persediaan dan perancangan yang baik. Supaya cita-cita akhir itu bisa diraih. Setiap dari kita jika ditanya adakah mahu mendapatkan Syurga? Ya, semua dengan cepat mengatakan dirinya mahu. Tapi sejauh mana usaha yang kita lakukan untuk meraihnya? Tepuk dada tanyalah iman.

Banyak manusia telah tertipu dengan mainan dunia. Banyak yang menyangka bahawa dirinya sudah bahagia dengan kejayaan akademik yang dimiliki, dengan keluarga, dengan orang yang dikasihi, dengan harta dan sebagainya. Semuanya adalah fana belaka. Hanya sementara. Kita pasti akan kehilangan semua itu, cuma masa yang akan mementukan samada dia meninggalkan kita atau kita yang terlebih dahulu meninggalkannya. Itu PASTI!. Saat itu tidak akan dianjak masa walau sedetik.

Hikmah Rahsia

Mengapa Allah merahsiakannya daripada kita?. Supaya kita bersedia, berusaha dan berlumba mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan yang akan kita bawa. Hairan. Kita sering melihat kematian yang berlaku disekeliling kita. Tapi masih lagi tiada rasa apa-apa, tidak mahu membayangkan diri kita yang sedang melaluinya. Sedarlah diriku..sedarlah wahai saudaraku..jangan sampai nadi kita telah terhenti dan kita menghadapi Allah dalam keadaan yang tidak bersedia, bahkan lebih teruk dalam keadaan sedang melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Nau'zubillahi min dzalik.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia Telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali Imran: 185)

Kemana kita mahu LARI?

Kemana kita mahu lari lagi?? tiada tempat lagi untuk kita bersembunyi. Selama ini jika kita melakukan kemaksiatan kita sangka mampu bersembunyi dari pengetahuan manusia. Tetapi ingat, kita tidak akan pernah mampu lari dari pengawasan Allah. Jika kita didunia masih mampu lari dari mengingati kematian maka ketahuilah saat kematian itu benar-benar datang, ia akan datang dalam keadaan menerkam!
Pepatah Arab mengatakan Maut itu datang sepeti binatang buas yang mempunyai kuku yang tajam menerkam kita. Dia memburu dan terus memburu kita.

“Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, Maka Sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, Kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu dia beritakan kepadamu apa yang Telah kamu kerjakan.” (Al-Jumu’ah: 8).

Maka jelas lagi terang bahawa ditangan Allah terletak segala-galanya. Dialah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Nanti saya bertaubat

Orang yang masih tidak meyakini mati itu akan tiba, maka tanpa bersalah akan mengatakan begitu. Orang yang tidak bisa memahami agamanya dengan baik maka dia akan mempunyai kefahaman yang salah. Namun ada juga yang telah mengetahui dan menyedari dirinya harus berubah, tetapi tidak bisa melakukan perubahan kerana dia adalah orang yang lemah, hanya mampu berangan-angan dan menurut hawa nafsu. Merasakan masa masih panjang padahal hatinya tidak pernah tenang. Takut melihat kematian dan mahu terus memeluk dunia yang dimilikinya.

Wahai saudaraku..selagi pintu taubat masih terbuka luas, berlarilah menuju kepada-Nya. Janganlah pernah merasakan keputus asaan kerana dosa-dosa yang telah diperbuatkan. Janganlah merasakan diri tidak layak diampunkan kerana Allah itu Maha Pengampun. Siang dan malam Dia sentiasa menanti hambaNya datang untuk mem'bersih'kan dirinya. Jika kita datang kepadanya dalam keadaan berjalan maka Dia seolah akan datang dalam keadaan berlari. Sesungguhnya kita tidak pernah mengetahui masa, cara dan tempat mati yang kita akan hadapi nanti.

“Sesungguhnya Allah, Hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Luqman: 34)

Kesimpulan

Sesungguhnya penghujung nyawa itu adalah menjadi penentu terbesar dalam hidup kita. Samada akan menginap sebentar di taman syurga atau di jurang neraka. Sesungguhnya bagi mukmin itu hidupnya tidak terhenti setakat kematian dari alam dunia. Darul A'mal baginya adalah tempat persinggahan sementara dalam meneruskan perjalanan hidup yang hakiki. Syurga nan abadi.

Tertulis kematian
Pada suratan kehidupan
Namun hanya ALLAH yang tahu
Bilakah ajal bakal bertamu

Detiknya menghampiri
Tanpa petanda yang menanti
Bila tiba saatnya nanti
Tak siapa dapat melarikan diri

Itu hakikat dan kepastian
Hadirnya tidak pernah kita alukan
Tua dan muda, miskin dan kaya
Semua insan pasti melaluinya

Sakit dirasa tidak terkata
Tika dipisahkan jiwa dari jasadnya
Hanya amalan bisa redakan
Bebanan derita di ambang kematian

Denyutan nadi akhirnya terhenti
Bersama nafas yang tak terhela lagi
Kerana jiwa meninggalkan pergi
Pulang kembali untuk menghadap Ilahi

Dari ALLAH kita datang,
KepadaNya kita pasti pulang

Detiknya pasti tiba
Adakah kita bersedia?

0 bersilaturrahim: